Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
MUKIM PENGKALAN BATU, Ahad, 21 Jun. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Batong, Mukim Pengkalan Batu telah berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu, di sini, dengan menggunakan kaedah kertas undi. Manakala pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada 19 Jun 2026 yang lalu.
Antara yang hadir ke majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim yang juga selaku Pengerusi Majlis dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, selaku wakil Daerah Zon 5 dan juga Ketua Kampung Putat serta selaku Pengerusi Bersama Majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Tingkat IV, Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, Awang Julherime bin Haji Mohd. Salleh.
Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Batong menyaksikan Awang Mohamad Rizal bin Haji Johari mendapat sebanyak 192 undian setuju, satu undian tidak setuju dan tidak ada undian rosak.
Awang Mohamad Rizal, berusia 50 tahun semasa tarikh tutup iklan pada tahun 2025 dan mempunyai kelulusan Sijil Latihan dalam Perguruan, diiktiraf sebagai sebanding dengan kelulusan pada tahap 4 Diploma Kebangsaan dalam Kerangka Kelayakan Negara Brunei Darussalam.
Beliau pada masa ini berkhidmat sebagai Guru Ugama Terlatih, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dalam pada itu, beliau juga aktif menjadi Ahli Badan Agama Majlis Perundingan Kampung Pengkalan Batu dan juga pernah menjadi Ahli Ketua Belia Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong pada tahun 2014. Selain itu, insan ini juga pernah menjadi Ahli Pelapis Bilal Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong pada tahun 2014.
Pencalonan Awang Mohamad Rizal telah dicadangkan oleh Dato Paduka Haji Sahak@Ishaaq bin Haji Abdullah dan disokong oleh Awang Yusup bin Haji Jahat selaku penyokong pertama, serta Awang Haji Md. Saudian bin Haji Damit selaku penyokong kedua.
Turut hadir, Penghulu Mukim, Pemangku Penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung dan Pemangku-pemangku Ketua Kampung di bawah tadahan Daerah Zon 5 khususnya Mukim Pengkalan Batu dan Mukim Sengkurong serta penduduk Kampung Batong.
Sehubungan itu, keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.